KOTA KINABALU: Penyelam skuba disaran mengkaji semula amalan keselamatan asas ketika menyelam susulan kematian seorang wanita berusia 31 tahun di perairan Pulau Tioman baru-baru ini, yang hasil bedah siasat mengesahkan punca kematiannya adalah akibat embolisme gas arteri (Arterial Gas Embolism, AGE).
Penasihat Perubatan Kelab Sabah Dive Squad, Dr Eugene Tan, berkata AGE ialah kecederaan serius yang berlaku apabila udara yang mengembang semasa pendakian ke permukaan menyebabkan tisu paru-paru terkoyak sebelum memasuki saluran darah, sekali gus menyekat aliran darah ke otak atau jantung.
“Susulan insiden tragis yang meragut nyawa seorang penyelam di perairan Pulau Tioman baru-baru ini, amat penting untuk semua penyelam mengkaji semula amalan keselamatan utama ketika berada di bawah air.
“Teruskan bernafas secara berterusan, khususnya ketika naik ke permukaan. Sekiranya perlu naik dengan cepat dalam situasi kecemasan, hembuskan nafas secara berterusan.
“Untuk memudahkan, jangan naik ke permukaan lebih laju daripada gelembung udara yang anda hembuskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menasihatkan penyelam supaya naik ke permukaan secara perlahan pada kadar kurang daripada sembilan hingga 18 meter seminit serta melakukan hentian keselamatan selama tiga minit pada kedalaman lima meter.
Dr Tan turut menekankan kepentingan sistem rakan selam (buddy system) dengan memastikan setiap penyelam sentiasa berada berdekatan antara satu sama lain.
Sekiranya terpisah daripada rakan selam, penyelam disaran mencarinya tidak lebih daripada satu minit sebelum naik ke permukaan secara perlahan untuk berkumpul semula di permukaan air.
Beliau juga mengingatkan supaya tidak melakukan selaman sekiranya mengalami asma, jangkitan dada atau kesesakan paru-paru.
Dalam situasi kecemasan, Dr Tan yang juga Pakar Perubatan Dalaman di Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu di Sepanggar berkata, penyelam yang timbul di permukaan dalam keadaan keliru atau tidak sedarkan diri perlu segera diberikan oksigen 100 peratus, dibaringkan dalam keadaan rata dan dihantar secepat mungkin ke kemudahan ruang hiperbarik (hyperbaric chamber). – DAKWAT RAKYAT POST
