Kuching: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal nelayan asing dari Indonesia yang disyaki menceroboh perairan Sarawak dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram minggu lalu.
Pengarah Maritim Malaysia Sarawak Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, kapal terbabit ditahan pada jam 11.35 pagi Rabu lalu di kedudukan 101 batu nautika barat laut Tanjung Sirik.
Beliau berkata, kapal berkenaan dikesan oleh aset Maritim Malaysia yang melaksanakan Op PERMAI 01/2019, Op NAGA dan Op TIRIS 4.0.
“Pemeriksaan ke atas kapal itu mendapati ia dikendalikan oleh empat kru warga Indonesia termasuk seorang nakhoda.
“Siasatan awal mendapati kapal berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan di Perairan Perikanan Malaysia tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Beliau berkata, kapal bersama empat kru itu ditahan sebelum diiring ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Kuching, dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Mohd Khairi berkata, Maritim Malaysia Sarawak akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan vesel asing, aktiviti perikanan haram serta sebarang pelanggaran undang-undang maritim.
“Usaha ini penting bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kelestarian sumber marin negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa orang ramai, khususnya komuniti maritim, supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera.
Kredit sumber: Harian Metro
