TAWAU: Pelbagai program bantuan dan pembangunan komuniti yang disediakan menerusi Komuniti MADANI diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat bagi meningkatkan kesejahteraan hidup, di samping menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Penasihat Komuniti MADANI Parlimen Tawau, Fung Thin Yien berkata, beberapa inisiatif akan dilaksanakan untuk memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat, antaranya Program Bantuan Minyak Hitam bersama pakej penyelenggaraan kenderaan secara percuma, Program Bantuan Baju Terpakai (Bundle) serta penyertaan dalam Program Akademi Kenegaraan Malaysia.
Menurut beliau, pelaksanaan program berkenaan bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi masyarakat, malah menjadi medium untuk mengukuhkan hubungan dalam komuniti serta menyemai semangat cintakan negara.
“Kita menggalakkan lebih ramai penduduk mengambil peluang menyertai program yang disediakan. Pada masa sama, penglibatan dalam Program Akademi Kenegaraan Malaysia mampu memupuk nilai patriotisme, memperkukuhkan perpaduan dan meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Program Jiwa Komuniti MADANI Sembang Santai 1.0 Komuniti MADANI Apas yang berlangsung di Mae Mae Cafe, di sini.
Dalam perkembangan sama, Pengurus NADI PPR Taman Sri Apas, Arifah Adon mengingatkan orang ramai supaya lebih peka terhadap aspek keselamatan digital berikutan peningkatan kes jenayah siber yang semakin membimbangkan.
Katanya, pengguna perlu lebih berhati-hati ketika berkongsi maklumat peribadi, mengelakkan daripada menekan pautan atau menerima tawaran yang mencurigakan serta memastikan penggunaan kata laluan yang kukuh bagi melindungi akaun dalam talian.
“Keselamatan siber bermula daripada kesedaran pengguna sendiri. Sentiasalah menyemak kesahihan sesuatu maklumat dan elakkan mendedahkan data peribadi tanpa keperluan bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Komuniti MADANI Apas, Norlaine Sado berkongsi pandangan mengenai kepentingan memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti, manakala Penolong Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Bustan Made Aming menyampaikan ceramah berkaitan isu semasa serta tatacara pemasangan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Program berkenaan turut diisi dengan sesi dialog bersama komuniti, cabutan tiket bertuah serta pengagihan bahan penerbitan oleh Pejabat Penerangan Daerah Tawau.
Hadir sama Ketua Komuniti MADANI Kongsi 8, Ronneh Mamad; Ketua Komuniti MADANI Sri Tanjong, Fung Thien Kien; serta Penasihat NADI Tawau, Lexy Petrus. – DAKWAT RAKYAT POST
Sumber rujukan: Pejabat Penerangan Daerah Tawau’s Post
