KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman mengakui persepsi dan tanggapan terhadap badan antirasuah itu tidak akan lenyap walaupun kepimpinan bertukar.
Beliau berkata, persepsi dan ketidakpuasan hati adalah hak individu yang tidak boleh dinafikan, tetapi tugas pegawai SPRM harus dilaksanakan dengan berkesan.
SPRM juga tidak boleh memuaskan hati semua pihak, sebaliknya perlu membuktikannya melalui hasil tindakan dan kerja yang dilakukan pegawai-pegawainya.
Ada pihak tak puas hati wujudkan persepsi negatif
“Kita perlu membuktikannya melalui tindakan dan hasil kerja. Kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Dalam sesuatu siasatan, pihak yang terbabit mungkin tidak berpuas hati dan membentuk persepsi negatif.
“Itu hak mereka, tetapi jika kita menjalankan tugas mengikut undang-undang, prosedur dan landasan yang betul, kita tidak perlu takut atau gentar.
“Kita mesti melaksanakan amanah dengan ikhlas, jujur dan penuh komitmen. Persepsi akan sentiasa wujud, tetapi keyakinan terhadap integriti proses dan profesionalisme pegawai perlu dipertahankan,” katanya dalam program Audio Siar Kolar Hitam: Bukan Sekadar Operasi oleh SPRM, hari ini.
Audio siar itu dikendalikan oleh Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Hisyam Mohd Yusoff.
Mengenai sikap pihak tertentu yang mempertikaikan siasatan SPRM sebelum prosesnya selesai, Abd Halim mengingatkan masyarakat perlu berhati-hati supaya komen tidak dilihat sebagai mencampuri, mempengaruhi atau memprejudiskan siasatan.
“Menyuarakan pendapat ialah hak setiap individu, tetapi setiap hak mempunyai batas… Seksyen 48 Akta SPRM 2009 memperuntukkan kesalahan berkaitan perbuatan yang menghalang atau mencampuri penyiasatan. Oleh itu, berikan kepercayaan kepada agensi penguatkuasaan untuk menjalankan tugas.
“Tidak bermakna setiap aduan yang dibuat kepada SPRM mesti disahkan benar. Fungsi SPRM ialah menyiasat, meneliti keterangan, mempertimbangkan semua sudut dan membuat syor berdasarkan penyiasatan. Selepas itu, kertas siasatan dirujuk kepada Peguam Negara untuk pertimbangan dan keputusan lanjut,” katanya.
Beri kepercayaan kepada yang bertugas
Katanya, sebagai Ketua Pesuruhjaya, beliau sendiri perlu memberikan kepercayaan kepada mereka untuk menjalankan tugas secara profesional dan tanpa memihak, lebih-lebih lagi pegawai penyiasat SPRM adalah mereka yang kompeten, bertauliah dan diwartakan.
“Selepas siasatan dibuat dan disemak oleh pihak atasan, perkara itu dirujuk kepada Peguam Negara. SPRM memperakukan hasil siasatan, tetapi keputusan untuk mendakwa atau tidak berada di bawah bidang kuasa Peguam Negara.
“Orang ramai perlu memahami proses ini dan tidak mengharapkan setiap aduan menghasilkan keputusan mengikut kehendak pengadu. SPRM ialah agensi bebas yang tidak memihak kepada mana-mana pihak,” katanya.
Pegawai SPRM dilengkapi teknologi moden
Tiga bulan menerajui SPRM, Abd Halim berkata, agensi itu perlu selari dengan kemajuan dunia dan disebabkan itu pegawainya perlu dilengkapi dengan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan, latihan yang relevan di dalam dan luar negara demi meningkatkan ilmu dan kemahiran.
“Namun, matlamat kita ialah sifar rasuah dan sama ada ia dapat dicapai sepenuhnya atau tidak, usaha mesti dilakukan secara bersatu padu.
Tanggungjawab ini juga tidak boleh diserahkan kepada SPRM semata-mata, sebaliknya usaha kerajaan, sektor swasta, sekolah, keluarga dan seluruh masyarakat perlu memainkan peranan,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
