SOOK, 31 Julai 2026 – Penduduk Kampung Penagatan Ulu kini menikmati kemudahan bekalan air bersih menerusi Projek Telaga Tiub yang telah siap dibina dan selesai menjalani ujian operasi menggunakan teknologi rawatan air bawah tanah.
Ahli Parlimen Pensiangan juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, sistem berkenaan menggunakan sumber air bawah tanah yang diproses melalui teknologi penapisan dan pembersihan secara in-situ bagi menghasilkan air yang bersih, selamat diminum serta mengandungi mineral semula jadi.
Menurut beliau, projek tersebut merupakan antara inisiatif yang dibawanya dengan kerjasama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) ketika beliau berkhidmat di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada tahun 2023.
Katanya, pelaksanaan projek itu mengambil masa beberapa tahun kerana proses pembinaan dan ujian perlu dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan kualiti air yang dihasilkan benar-benar memenuhi piawaian sebelum dimanfaatkan oleh masyarakat.
“Usaha ini dilaksanakan bagi menyediakan kemudahan bekalan air bersih secara percuma kepada penduduk sekitar, sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.
Arthur berkata, pengurusan kemudahan tersebut akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kampung, manakala keutamaan penggunaan akan diberikan kepada penduduk setempat, khususnya bagi memenuhi keperluan dewan kampung, tadika dan masjid.
Dalam lawatan kerja yang sama, beliau turut meninjau kawasan perkarangan Masjid Kampung Penagatan Ulu yang bakal dinaik taraf selepas projek berkenaan diluluskan bagi meningkatkan keselesaan masyarakat menjalankan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Beliau berharap pelaksanaan Projek Telaga Tiub serta kerja-kerja menaik taraf perkarangan masjid itu dapat memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk Kampung Penagatan Ulu dan menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup komuniti di kawasan berkenaan. – DAKWAT RAKYAT POST
