PENAMPANG, 7 Ogos 2026 – Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) terus menerima sokongan apabila bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk James Ligunjang JP bersama beberapa pemimpin politik serta golongan profesional dari kawasan Parlimen Penampang secara rasmi menyertai parti itu pada Jumaat.
Turut mengemukakan permohonan menjadi ahli PGRS ialah Datuk Edmund Doudilim, Dr Tan Jun Kwang, Wilson Chang, Datuk Aloysius Mobijin, Frederick Francis Fung, Anwar Syed Shariff Abdullah, TS Gary Chang dan Albert Doudilim.
Majlis penyerahan borang keahlian berlangsung di ITCC Penampang dengan borang disampaikan kepada Pengerusi PGRS Bahagian Moyog, Datuk Mandela Malakun. Turut hadir menyaksikan majlis berkenaan ialah Pengerusi PGRS Bahagian Kepayan, Datuk Steven Jimbangan.
James berkata, penyertaannya ke dalam PGRS dibuat bagi memperkukuhkan lagi perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah diberikan sokongan olehnya sejak gabungan itu ditubuhkan.
Menurut beliau, walaupun sebelum ini tidak menjadi anggota mana-mana parti dalam gabungan GRS, keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan negeri mendorong beliau bersama rakan-rakan memilih PGRS sebagai saluran baharu untuk meneruskan perjuangan politik.
Katanya, langkah tersebut juga bertujuan memperkukuhkan jentera akar umbi parti selain membantu memperkasakan GRS supaya kepentingan rakyat Sabah terus dipelihara.
Dalam pada itu, James turut memuji pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang disifatkannya berjaya membawa pelbagai inisiatif pembangunan dan kemajuan yang memberi manfaat kepada rakyat di seluruh Sabah.
Beliau berkata, pelbagai pencapaian yang direkodkan kerajaan negeri ketika ini menunjukkan kepimpinan sedia ada berada pada landasan yang betul dan wajar terus menerima sokongan daripada rakyat.
Penyertaan James bersama beberapa tokoh berpengalaman dari Penampang itu dilihat mampu memperkukuhkan kedudukan PGRS di kawasan Parlimen berkenaan, selain memperluaskan pengaruh parti dalam menghadapi perkembangan politik negeri pada masa akan datang. – DAKWAT RAKYAT POST
