PETALING JAYA: Adun Paginatan Rusdin Riman menyatakan komitmennya terhadap kestabilan kerajaan Sabah di sebalik tindakan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menarik sokongan terhadap pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali berkata beliau menghubungi Rusdin susulan pengumuman oleh pemangku Presiden KDM Priscilla Peter dan dimaklumkan keutamaannya berkhidmat kepada masyarakat diwakilinya.
“Menurutnya, komitmen beliau adalah khidmat kepada masyarakat yang beliau wakili dan kestabilan kerajaan negeri untuk meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Armizan, Rusdin turut bersama dalam satu acara membabitkan Adun kerajaan di Kota Kinabalu pagi tadi.
Beliau pada masa sama, Armizan menjelaskan KDM bukan parti komponen GRS sebaliknya menyokong pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor menerusi Rusdin selepas PRN Sabah.
“Keputusan itu menjadikan KDM sebahagian kerajaan Sabah,” katanya.
Terdahulu, Priscilla mengumumkan penarikan sokongan terhadap kerajaan GRS dan menjelaskan keputusan itu penting bagi menunjukkan hala tuju parti menjelang PRU16.
Keputusan itu dibuat ketika parti berkenaan dikatakan sedang berbincang untuk kerjasama dengan Warisan serta Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pada PRU16.
Kredit sumber: Free Malaysia Today
