Prahovo, Serbia: Lebih 20 bangkai kapal perang Jerman era Perang Dunia Kedua yang muncul semula dari dasar Sungai Danube akibat kemarau teruk di Eropah pada musim panas ini kelihatan menyeramkan, malah ada yang seolah-olah memberi amaran, lapor National Geographic.
Kapal-kapal berkenaan adalah sebahagian konvoi kira-kira 200 kapal Nazi Jerman yang ditenggelamkan berhampiran pelabuhan Prahovo di Serbia pada September 1944, bagi menghalang kemajuan tentera Soviet.
Bangkai kapal itu masih menghalang laluan pelayaran dan sebahagiannya mengandungi bahan letupan aktif selepas lebih 80 tahun.
Gelombang haba teruk yang melanda Eropah menyebabkan paras air sungai itu merosot ke tahap terendah dalam sejarah, memaksa tongkang beroperasi dengan muatan separuh sehingga meningkatkan kos pengangkutan yang melalui sungai selain mengancam operasi stesen jana kuasa elektrik.
Kerja-kerja mengorek dasar sungai dan pembinaan empangan selama dua abad turut menjejaskan keupayaan semula jadi sungai untuk menyimpan air dengan pemulihara daripada organisasi Riverwatch, Ulrich Eichelmann menyifatkan keadaan sungai-sungai di Eropah kini sebagai ‘sakit’.
Sungai Danube yang menjadi talian hayat Jerman ketika Perang Dunia Kedua itu menyaksikan lebih 4,000 orang menaiki konvoi kapal pemindahan sebelum anak kapal menenggelamkan kapal mereka pada malam 6 September 1944, selepas laluan keluar di kawasan dikenali sebagai Iron Gates yang dikuasai tentera Soviet.
Kurator Muzium Sains dan Teknologi Belgrade, Gordana Karovic yang menulis laporan muktamad mengenai armada berkenaan berkata, sisa bangkai kapal yang ditenggelamkan itu menjadi tugu peringatan perang yang tiada tandingan dari era Perang Dunia Kedua.
Bangkai kapal berkenaan pernah muncul pada 2003, 2011, 2022 dan 2024. Namun, penurunan paras air pada musim panas ini adalah yang paling teruk pernah direkodkan sehingga mendedahkan keseluruhan badan kapal dengan jelas.
Kerajaan Serbia melancarkan operasi bernilai kira-kira AS$30 juta (kira-kira RM122 juta) dengan pembiayaan daripada Bank Pelaburan Eropah untuk mengalihkan 21 bangkai kapal berkenaan berikutan kerugian ekonomi yang dianggarkan hampir AS$6 juta (kira-kira RM24 juta) setahun, tetapi kerja-kerja penyelamatan bergerak perlahan kerana risiko bahan letupan yang masih terdapat di dalam bangkai kapal berkenaan.
Krisis kemarau turut menjejaskan loji nuklear Paks di Hungary yang terpaksa mengurangkan kapasiti operasinya buat kali pertama dalam tempoh 44 tahun sejak ia ditubuhkan, manakala tentera Romania terpaksa meletupkan batuan di dasar sungai bagi membolehkan air mengalir ke sistem penyejukan reaktor.
Ahli sains iklim di Institut Meteorologi Diraja Belanda, Sarah Kew berkata, peningkatan suhu atmosfera menyebabkan udara menjadi semakin ‘dahaga’ dan menyerap lebih banyak air dari tanah sekali gus meningkatkan risiko kemarau kelembapan tanah sehingga 11 kali ganda di Eropah Timur.
Punca utama kemerosotan paras air Sungai Danube yang begitu ketara adalah kemusnahan kira-kira 80 peratus dataran banjir asal akibat kerja kejuruteraan sungai selama dua abad, yang mana aktiviti itu mempercepat aliran air tanpa membolehkan sungai menyimpan rizab air apabila hujan berhenti.
Pakar ekologi menegaskan bahawa penyelesaian terbaik adalah memulihkan ekosistem semula jadi sungai dan bukannya menambah projek kejuruteraan memandangkan sistem sungai semula jadi berperanan sebagai penyejuk bumi.
Eichelmann turut mengingatkan bahawa walaupun Sungai Danube mendapat perhatian besar kerana kepentingan ekonominya dan penemuan bangkai kapal, kerosakan yang dialami sungai-sungai yang lebih kecil di seluruh benua sebenarnya jauh lebih serius.
Kredit sumber: Agensi/Harian Metro
