Kota Kinabalu: Puluhan tahun menyantuni masyarakat berbilang agama, termasuk membantu rumah ibadat Islam dan Kristian di kawasan Pitas, membuka hati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Ruddy Awah, 58, untuk memilih Islam sebagai pegangan hidup.
Ruddy berkata, tugasnya sebagai ADUN menuntut beliau mendekati dan membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, termasuk menyantuni masjid, surau dan gereja di seluruh kawasan yang diwakilinya.
Katanya, amalan itu sudah dilakukan sejak sebelum beliau bergelar wakil rakyat lagi dan diteruskan selepas menerima mandat sebagai wakil rakyat.
“Sebelum menjadi wakil rakyat, sama ada gereja, masjid atau surau, kita bantu sedaya mampu apabila mereka memohon sumbangan.
“Setelah menjadi wakil rakyat pula, saya terus menyantuni semua surau, masjid dan gereja dengan memberi tabung bantuan pada setiap tahun,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 1,001 gereja, selain surau dan masjid di Pitas, masing-masing menerima sumbangan RM1,000 setiap tahun.
Mengulas lanjut, Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah itu berkata, selain bantuan kepada rumah ibadat, beliau turut menganjurkan majlis berbuka puasa dan sambutan Aidilfitri serta menyumbangkan lembu korban kepada surau dan masjid di Pitas.
Ruddy berkata, walaupun beliau memegang kepercayaan pagan, keprihatinannya terhadap masyarakat Islam turut mendorongnya mengambil inisiatif melantik sembilan guru Fardu Ain untuk mengajar al-Quran di Pitas, dengan setiap seorang menerima bayaran RM1,000 sebulan menggunakan wang peribadinya.
Katanya, penyediaan van jenazah secara percuma untuk kegunaan umat Islam dan Kristian, selain sumbangan kain kafan di surau, turut menjadi antara perkara yang membuatkan hatinya semakin terbuka untuk memilih Islam.
“Dengan adanya sumbangan kepada surau dan masjid, bantuan guru fardu ain, serta kemudahan van jenazah untuk umat Islam dan Kristian yang disediakan secara percuma untuk kegunaan bersama, serta kain kafan di setiap surau, perkara-perkara inilah yang membuatkan hati saya terbuka.
“Mungkin saatnya sudah tiba. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam,” katanya.
Ruddy berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas lebih 10 tahun memikirkan pegangan agama yang mahu dianutinya, selain sering mengikuti ceramah agama Islam dan mempelajari tatacara agama berkenaan.
Menurutnya, keputusan terbabit bukan disebabkan faktor politik, keluarga atau sebarang tawaran daripada mana-mana pihak, sebaliknya lahir daripada keikhlasan hati selepas hidayah sampai kepadanya.
Beliau turut menjelaskan isteri dan lima daripada enam anaknya memeluk agama Islam lebih awal sebelum ini.
“Saya terbuka hati untuk memilih Islam. Ini bukanlah paksaan mana-mana pihak, sebaliknya ikhlas daripada hati saya, isteri dan anak-anak saya.
“Sudah cukup lama isteri saya menanti. Selama 10 tahun beliau mengajak saya masuk Islam, tetapi ketika itu hidayah belum sampai. Namun apabila tiba masanya dan hidayah itu sampai, hati saya terbuka tanpa sebarang paksaan.
“Saya juga membina sebuah surau baru-baru ini yang siap dua bulan lepas dalam kawasan rumah saya,” katanya.
Beliau berkata, keputusannya untuk memeluk Islam juga tidak menjejaskan hubungan dengan keluarga besar serta masyarakat Kristian di Pitas yang sudah diberikan penjelasan lebih awal.
Kredit sumber: Harian Metro
