Kuala Lumpur: Kerajaan disaran mewujudkan pasukan petugas khas bagi menjejaki pemberi pinjam wang tanpa lesen yang menyalahgunakan lesen diberikan selain memperhebat tindakan penguatkuasaan terhadap sindiket ceti haram atau ah long.
Pengarah Biro Aduan dan Banteras Ceti Haram (Banteras) Panji Malaysia, Azman Kang berkata, tindakan penguatkuasaan lebih proaktif perlu dilaksanakan bagi memastikan isu ceti haram yang berlarutan sejak sekian lama dapat ditangani dengan lebih berkesan.
Jelasnya, komitmen berterusan semua pihak termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Luar dan Kementerian Komunikasi amat diperlukan terutama dalam menangani kegiatan ah long yang semakin aktif menggunakan platform digital.
“Taktik sindiket yang semakin agresif termasuk menggunakan platform digital untuk memperdaya mangsa selain melakukan ugutan jenayah perlu segera dibendung.
“Masalah ini sudah berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan tindakan lebih menyeluruh daripada semua pihak bagi memastikan ia tidak terus meresahkan masyarakat,” katanya di sini, hari ini.
Azman berkata, kerajaan juga perlu memberi perhatian terhadap kegiatan pemberi pinjam wang tanpa lesen yang berselindung di sebalik nama Kredit Komuniti bagi memperdaya mangsa kononnya mereka berurusan dengan entiti yang sah.
“Terdapat pihak yang didakwa mengenakan kadar faedah melebihi had yang ditetapkan undang-undang, sekali gus membebankan peminjam.
“Kerajaan perlu mewujudkan task force untuk menjejaki pemberi pinjam wang tanpa lesen di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang menyalahgunakan lesen diberikan. Ceti haram ini juga dikesan berselindung di sebalik nama Kredit Komuniti bagi memperdaya mangsa kononnya mereka berurusan dengan entiti yang sah,” katanya.
Katanya, kadar faedah pinjaman perlu dipantau bagi memastikan ia mematuhi ketetapan undang-undang, termasuk had maksimum 12 peratus setahun bagi pinjaman bercagar dan 18 peratus setahun bagi pinjaman tanpa cagaran.
Azman berkata, Panji Malaysia bersedia membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan ceti haram bagi membolehkan tindakan lebih berkesan diambil.
Kredit sumber: Harian Metro
