TAWAU: Masalah kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di hadapan Sekolah Rendah dan Menengah Islamiah Tawau kini diberi perhatian menerusi pembukaan laluan alternatif sepanjang 540 meter.
Pembukaan laluan itu dijangka dapat membantu melancarkan aliran trafik di kawasan sekolah, selain memberi pilihan kepada pengguna jalan raya dan meningkatkan tahap keselamatan murid, khususnya ketika waktu menghantar serta mengambil anak.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, berkata pembukaan laluan berkenaan merupakan susulan daripada aduan dan cadangan dikemukakan pihak sekolah bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku di kawasan berkenaan.
Menurutnya, laluan alternatif itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada ibu bapa, malah turut memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Kita menerima aduan dan cadangan daripada pihak sekolah untuk membuat satu jalan alternatif bagi mengurangkan kesesakan jalan raya.
“Saya harap pembukaan jalan ini akan memudahkan bukan hanya ibu bapa yang mengambil dan menghantar anak-anak, tetapi juga semua penduduk khususnya di Tawau dan sekitarnya,” katanya.
Lo berkata, kemudahan itu akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa, termasuk kerja menurap laluan berkenaan dengan asfalt supaya dapat digunakan secara lebih selesa dan berkesan untuk tempoh panjang.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, berkata kewujudan laluan baharu itu amat penting kerana isu kesesakan di sekitar sekolah berkenaan telah lama menjadi perhatian masyarakat.
Katanya, selain memastikan pergerakan trafik lebih lancar, aspek keselamatan murid perlu diberikan keutamaan berikutan jumlah kenderaan yang tinggi di kawasan sekolah terutama pada waktu puncak.
“Pembukaan jalan ini merupakan satu keperluan dan sudah dinanti sekian lama kerana ia dapat mengurangkan kesesakan berdekatan sekolah rendah dan sekolah menengah Islamiah.
“Paling utama ialah kesesakan dan keselamatan anak-anak kita, itu yang paling wajar kita perhatikan,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Sekolah Menengah dan Rendah Islamiah Tawau, Abdul Samat Akui, berkata masalah kesesakan di kawasan sekolah telah berlaku dalam tempoh yang panjang, terutama pada waktu ibu bapa menghantar dan mengambil anak masing-masing.
Beliau berkata, keadaan berkenaan bukan sahaja menyebabkan pergerakan kenderaan menjadi perlahan, malah turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan murid.
“Selain daripada kesesakan, ia juga mengancam keselamatan anak-anak sekolah. Dengan adanya jalan alternatif ini, pengguna mempunyai pilihan untuk keluar sekolah.
“Ini merupakan satu usaha yang sangat baik,” katanya.
Menurut Abdul Samat, pembukaan laluan alternatif itu juga semakin diperlukan berikutan cadangan pembinaan sebuah lagi sekolah berhampiran kawasan tersebut.
Katanya, kewujudan sekolah baharu berkenaan kelak berkemungkinan meningkatkan jumlah kenderaan dan memberi tekanan tambahan terhadap aliran trafik sedia ada.
Beliau berharap laluan alternatif yang disediakan dapat membantu mengurangkan jumlah kenderaan yang berhenti atau diletakkan di bahu jalan utama, sekali gus menjadikan persekitaran sekolah lebih teratur dan selamat untuk murid serta pengguna jalan raya.
Pembukaan laluan berkenaan dilihat sebagai satu langkah penting dalam menangani masalah trafik di kawasan sekolah, di samping menyediakan persekitaran yang lebih selamat kepada warga sekolah dan masyarakat setempat. – DAKWAT RAKYAT POST
