SANDAKAN, 22 Ogos 2026 – Seorang lelaki berusia 30 tahun maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pemasangan tiang elektrik di Bandar Tabin Jaya, di sini, malam ini.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.53 malam, dengan mangsa yang dipercayai bekerja sebagai kontraktor elektrik masih berada di atas tiang ketika pasukan bomba tiba di lokasi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.53 malam.
Beliau berkata, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati mangsa masih berada di atas tiang elektrik.
“Pasukan kemudian menjalankan operasi menurunkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Sabah Electricity bagi membolehkan kerja menyelamat dilakukan dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, mangsa berjaya diturunkan sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.
Bagaimanapun, katanya, pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi urusan seterusnya dan siasatan berhubung kejadian.
Operasi berkenaan turut mendapat bantuan lima anggota Sabah Electricity dan dua anggota PDRM.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.40 malam selepas pasukan keselamatan mengesahkan lokasi kejadian berada dalam keadaan selamat serta tiada lagi risiko yang boleh membahayakan anggota. – DAKWAT RAKYAT POST
