Bangkok: Permaisuri Suthida Bajrasudha Bimalalakshana dari Thailand sedang menjalani program latihan penerbangan pesawat pejuang Gripen di Wing 7 di Surat Thani, lapor The Nation.
Program dijalankan secara persendirian itu berlangsung dari 20 Ogos lalu hingga 4 September ini, dan dijangka melalui peringkat latihan standard Tentera Udara Diraja Thailand untuk ke arah penerbangan secara solo.
Menurut laporan, jurulatih penerbangan dan pakar penerbangan mengawasi program itu serta memberikan panduan sepanjang latihan.
Kejayaan menamatkan program berkenaan berpotensi menjadikan Permaisuri Suthida, 48, sebagai permaisuri pertama kepada raja masih memerintah yang menerbangkan pesawat pejuang. Ia memandangkan baginda adalah isteri kepada Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn.
Menurut media sama, sebelum memulakan program Gripen, Permaisuri Suthida dilaporkan menjalani latihan menggunakan pesawat latihan jet lanjutan L-39 di Sekolah Latihan Penerbangan Tentera Udara Diraja Thailand di daerah Kamphaeng Saen, Nakhon Pathom.
Baginda turut menyelesaikan beberapa sesi simulator termasuk latihan terbaharu di kemudahan Tentera Udara Diraja Thailand di Don Mueang.
Permaisuri Suthida juga melakukan beberapa lawatan persendirian ke Wing 7, pangkalan operasi utama armada Gripen 39 C/D Thailand, untuk mempelajari sistem teknikal pesawat itu dan berbincang dengan juruterbang operasi.
Permaisuri Suthida mempunyai pengalaman luas dalam penerbangan ketenteraan dan awam selepas mengikuti kursus penerbangan dengan Tentera Udara Diraja Thailand dan Tentera Darat Diraja Thailand sebelum menjalani latihan penerbangan lanjut di Jerman.
Baginda kemudian menamatkan Kursus Penerbangan Awam Tentera Udara Diraja Thailand pada 8 Disember 2010 dengan menerbangkan pesawat Cessna T-41, sebelum menamatkan Kursus Kadet Penerbangan Sayap Tetap Tentera Darat di Sekolah Penerbangan Tentera Darat pada 16 Januari 2011.
Pada 6 Disember 2012, baginda menamatkan kursus penerbangan di Sekolah Latihan Penerbangan Tentera Udara Diraja Thailand dengan menerbangkan pesawat CT-4E dan PC-9.
Latihan lanjutannya di Jerman merangkumi Lesen Juruterbang Persendirian bagi pesawat Cessna 172, Mooney M-20 dan Piper PA-34 Seneca serta Lesen Juruterbang Komersial dengan penarafan jenis Boeing 737 dan kelayakan teori Lesen Juruterbang Pengangkutan Udara.
Baginda turut memperoleh Lesen Juruterbang Pengangkutan Udara daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand, dan pernah berkhidmat sebagai juruterbang bersama dalam pesawat Boeing 737-400 dan Boeing 737-800 diraja.
Program Gripen itu menjadi peringkat seterusnya dalam latihan penerbangan permaisuri berkenaan, daripada penerbangan awam, latihan ketenteraan dan pesawat komersial kepada platform pesawat pejuang operasi.
Kredit sumber: Harian Metro
