HULU TERENGGANU: Seorang lelaki berusia 63 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) dan terpaksa menggunakan kerusi roda direkodkan sebagai penagih dadah paling tua di negara ini setakat ini, selepas ditahan di Besut, Terengganu.
Lebih mengejutkan, lelaki berkenaan yang sudah 35 tahun mengambil dadah jenis methamphetamine atau lebih dikenali sebagai pil kuda, ditahan bersama dua anaknya yang masing-masing berusia lingkungan 30-an dan 40-an, Julai lalu.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, lelaki terbabit turut memakai lampin pakai buang dan mengalami masalah pergerakan sehingga memerlukan kerusi roda.
“Paling tua setakat ini usia 63 tahun, dah pakai pampers, OKU berkerusi roda ditahan di Besut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penyerahan projek kerja-kerja pengubahsuaian Pejabat AADK Daerah Hulu Terengganu.
Turut hadir, Pengarah AADK Negeri Terengganu, Arzmi Abdullah.
Menurut Ruslin, kes berkenaan menunjukkan masalah penyalahgunaan dadah turut membabitkan golongan berusia, selain berlaku dalam kalangan kelompok keluarga.
Dalam pada itu, beliau berkata, kemudahan baharu di Pejabat AADK Daerah Hulu Terengganu turut merangkumi lokap bagi lelaki dan wanita, sekali gus membolehkan agensi itu menguruskan kes tangkapan dengan lebih berkesan.
Katanya, kemudahan berkenaan penting bagi menyokong operasi penguatkuasaan serta program pemulihan dan pengawasan dalam komuniti.
Sementara itu, berdasarkan data AADK, seramai 4,311 individu berusia 60 tahun ke atas direkodkan terlibat dengan penyalahgunaan dadah pada 2025, meningkat berbanding 3,229 orang pada 2026 setakat Jun.
Bagi kumpulan umur 15 hingga 30 tahun pula, seramai 37,494 orang direkodkan pada 2025 berbanding 34,471 orang pada 2026.
Data sama turut menunjukkan golongan berusia 31 hingga 59 tahun merupakan kumpulan terbesar, masing-masing 93,097 orang pada 2025 dan 92,590 orang pada 2026.
AADK turut merekodkan 28,940 orang atau 84 peratus daripada penagih dan penyalah guna dadah berusia 15 hingga 30 tahun terlibat dengan jenis dadah amphetamine-type stimulants (ATS).
Kredit sumber: Buletin TV3
