RANTAU PANJANG: Seorang pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku membabitkan isteri individu yang ditahan berkaitan kes dadah, digantung tugas sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata beberapa individu berkaitan sudah dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.
Katanya, pada masa sama, pihaknya juga masih berusaha mendapatkan keterangan bagi melengkapkan siasatan daripada wanita yang terbabit dalam kes ini kerana dia bukan berasal dari Kelantan dan kini berada di Negeri Sembilan.
“Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang melakukan perkara bertentangan dengan undang-undang.
“Tindakan tegas terhadap pegawai yang didapati melanggar undang-undang atau peraturan pasukan adalah penting bagi memastikan integriti dan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan polis terus terpelihara,” katanya selepas lawatan kerja ke Kontinjen Kelantan di Pangkalan Haram Lubok Gong, Rantau Panjang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Pada lawatan itu, Mohd Khalid turut meninjau keadaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dalam usaha mengekang kegiatan rentas sempadan sebagai laluan keluar masuk yang tidak sah di Pengkalan Haram Lubok Gong.
Terdahulu tular di media sosial seorang pegawai penyiasat yang bertugas di Kuala Krai didakwa melakukan salah laku dengan seorang wanita yang juga isteri kepada individu ditahan berkaitan kes dadah sehingga mencetuskan kemarahan penduduk serta warganet.
Kredit sumber: Berita Harian
