IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus bekerjasama rapat dengan Wisma Putra, dalam membantu mengesan dua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang masih gagal dihubungi, susulan banjir kilat dan insiden tanah runtuh di Rasuwa, Nepal.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata kementeriannya sedaya upaya mendapatkan maklumat terkini dua ‘wira merah’ itu yang termasuk antara lebih 50 rakyat Malaysia yang masih terputus hubungan hingga kini.
“Saya juga meminta seluruh rakyat Malaysia berdoa demi keselamatan dan kesejahteraan dua wira merah, yang setakat ini belum dapat dikesan. Kita memang berharap mereka selamat, malah kedua-duanya adalah anggota cemerlang,” katanya selepas merasmikan Ekspo Jom Makan Ipoh di sini, malam tadi.
Sebelum ini, dilaporkan dua pegawai terbabit iaitu Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan di Ibu Pejabat JBPM, Mohd Sani Harul dan pegawai Akademi JBPM Wilayah Tengah, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, dilaporkan gagal dihubungi.
Kedua-dua pegawai lelaki itu adalah sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia dalam perjalanan menuju Everest Base Camp (EBC), yang mula bertolak ke Nepal pada malam Isnin minggu lalu.
Sementara itu, Kor Ming berkata, kementerian melalui JBPM juga sentiasa berhubung rapat dengan keluarga dua anggota terbabit.
Kredit sumber: BERNAMA/Berita Harian
