Kuala Lumpur: “Saya bertahan sebab sayang, jadi terima ketentuan yang Allah SWT sudah ciptakan saya untuknya dan suami buat saya.”
Itu kata Azizah Ishak, 34, ketika berkongsi kisahnya bersuamikan lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal, Mohd Zamri Md Noor, 41, yang kudung kaki kiri selepas dipotong pada 29 Julai lalu akibat tulang rapuh.
Lebih memilukan Mohd Zamri menerima ujian itu kira-kira dua bulan selepas berumah tangga dengan Azizah yang kini mencari rezeki sebagai eksekutif di sebuah syarikat percetakan.
Menceritakan kisah itu, Azizah berkata, dia berkenalan dengan Mohd Zamri pada 2016, setahun sebelum suaminya terbabit dalam kemalangan.
Katanya, hampir sedekad juga mereka menjalin hubungan dan mengikat tali pertunangan pada 2017 sebelum diijabkabulkan pada 30 Mei lalu.
“Suami lelaki yang baik dan lembut melayan saya. Waktu bertunang pun saya bantu menjaganya kerana orang tuanya sudah berumur.
“Cuma saya tak pernah tengok suami tanpa kaki sehinggalah kaki kirinya dipotong bulan lalu.
“Sebagai isteri, tentunya saya sedih dan kasihan melihatnya kerana dulu, dia seorang yang aktif, malah pernah buat macam-macam kerja tapi kini pergerakannya terbatas,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di rumahnya di Jalan Klang Lama, di sini, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Azizah berkata, dia bekerja setiap Isnin hingga Jumaat namun rutin hariannya adalah menyedia dan menguruskan keperluan suami sebelum dan selepas pulang dari tempat kerja.
“Saya bekerja dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Jadi sebelum ke tempat kerja, saya akan sediakan sarapan dan makan tengah hari, kemudian sediakan tempat untuk suami membuang najis.
“Selepas pulang dari tempat kerja, saya akan mengemas rumah dan sambung uruskan keperluan suami seperti lap badan serta berinya makan dan minum.
“Buat masa ini, suami semakin boleh berdikari, jadi tak ada masalah buat saya, cuma ada waktunya kena ambil cuti bagi membawanya menghadiri temujanji dengan doktor di hospital,” katanya.
Menurutnya, dia tidak pernah berasa terbeban walaupun terikat dengan komitmen kerana ada pengalaman menjaga nenek yang sakit.
“Saya sudah biasa kerana emak dan ayah juga tak sihat, cuma saya tak duduk di tempat suami, jadi apa yang mampu adalah memberinya semangat dan dekatkan diri lagi dengan Tuhan dalam menempuh ujian ini.
“Semoga suami cepat sembuh, dapat pakai kaki palsu dan boleh berjalan semula satu hari nanti kerana kini, dia bergantung dengan kerusi roda dan tongkat,” katanya.
Sementara itu, suaminya, Mohd Zamri berkata, dia pernah bekerja sebagai penghantar surat pejabat namun terpaksa berehat lama selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran Plaza Tol Bukit Jelotong, Shah Alam, sembilan tahun lalu.
Katanya, kemalangan itu berlaku selepas motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah kereta yang berhenti di lorong kecemasan ketika dia dalam perjalanan dari Shah Alam ke Kuala Kubu Bharu bagi urusan kerja.
“Tiga minggu saya menerima rawatan di Hospital Shah Alam dan sembilan tahun menggunakan gegelung besi ‘Ilizarof’ bertujuan membantu pertumbuhan tulang baru.
“April lalu, paha saya patah dan bulan lalu, saya terjatuh di dapur. Doktor maklumkan tulang kaki saya patah dan jadi rapuh.
“Nak pasang gegelung besi semula agak sulit, jadi perlu dipotong. Memang patah semangat juga pada awalnya kerana mengenangkan masa depan tapi akhirnya akur dengan saranan doktor,” katanya yang memiliki dua anak hasil perkahwinan pertama dengan bekas isteri sebelum ini.
Zamri berkata, dia masih belajar menyesuaikan diri untuk bergerak dan meneruskan hidup tanpa sebelah kaki.
“Masa ada kaki lain, sekarang lebih susah tapi kena hadap juga.
“Saya harap isteri sentiasa ada dengan saya dan banyak bersabar. Saya tahu tak mudah untuknya menjaga suami seperti saya.
“Saya juga akan cuba belajar berdikari supaya keadaan jadi lebih baik kerana tak pasti bila boleh pakai kaki palsu.
“Cuma buat masa ini tak dapat nak bekerja dan bergantung dengan pendapatan bulanan isteri selain elaun sara hidup sebanyak RM800 sumbangan Baitulmal. Syukur juga kerana Baitulmal bantu membayar sewa rumah sebanyak RM600 sebulan,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
