KOTA KINABALU, 5 September 2026 – Gangguan bekalan simen di Sabah dijangka kembali pulih sepenuhnya pada pertengahan September ini selepas kerja pembaikan dan penyelenggaraan kilang Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) di Teluk Sepangar selesai.
Pengurus Besar CIS, Haji Sumardi Mohd Yusuf, berkata gangguan bekalan yang berlaku ketika ini turut dipengaruhi kelewatan ketibaan kapal membawa bahan mentah klinker serta simen pukal.
Menurut beliau, kelewatan berkenaan berlaku susulan keadaan cuaca kurang baik di pelabuhan kilang pembekal bahan mentah terbabit.
“Kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kilang telah berjaya disiapkan semalam, 4 September 2026, dan CIS kini sedang berusaha meningkatkan semula pengeluaran serta bekalan simen ke pasaran.
“Bekalan simen dijangka pulih sepenuhnya pada pertengahan September ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumardi berkata, CIS kini mengambil langkah meningkatkan perolehan klinker dan simen pukal bagi menampung permintaan tinggi terhadap bahan binaan berkenaan.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan bekalan simen dapat disalurkan secara berterusan kepada pengguna serta pemain dalam sektor pembinaan di Sabah.
Beliau berkata, pihak CIS memahami keperluan industri terhadap bekalan simen yang stabil dan sedang mengambil langkah sewajarnya bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan.
Sehubungan itu, CIS memohon kerjasama serta kefahaman semua pihak sepanjang tempoh pemulihan bekalan sehingga keadaan kembali seperti biasa. – DAKWAT RAKYAT POST
