ALOR SETAR – Gula-gula berperisa pudina, penyegar mulut, tanpa tembakau, bebas gula dan vegan merupakan antara kata-kata promosi yang digunakan penjual uncang nikotin bagi menarik perhatian pengguna dalam platform jualan dalam talian.
Pemerhatian mendapati istilah dalam bahasa Inggeris seperti mint flavored candies, vegan, sugar free, mouth refresher dan tobacco-free digunakan dalam kandungan promosi, sedangkan produk itu mengandungi nikotin pada beberapa tahap kandungan.
Rata-rata penjual didapati tidak menggunakan secara jelas perkataan nikotin pada produk atau bahan promosi, sebaliknya lebih menekankan aspek perisa, tiada asap, alternatif rokok dan vape serta kesegaran mulut.
Malah, pada promosi produk tersebut turut digunakan frasa a healthier lifestyle experience yang membawa maksud ‘pengalaman gaya hidup lebih sihat’, sekali gus mengaitkan penggunaan uncang nikotin dengan imej gaya hidup sihat.
Lebih mengelirukan, terdapat promosi yang menyifatkan uncang nikotin sebagai ‘pilihan lebih sihat’ selepas bersenam, seolah-olah produk itu sesuai dijadikan sebahagian daripada rutin gaya hidup aktif.
Dalam masa sama, terdapat penjual yang mempromosikan uncang nikotin sebagai penyelesaian kepada golongan perokok yang perlu bekerja dalam tempoh lama di ruang tertutup dengan pendingin hawa.
Penjual kemudian menekankan produk itu sebagai alternatif untuk membantu berhenti merokok, namun perkataan ‘merokok’ tidak digunakan secara jelas dalam sebahagian bahan promosi.
Penggunaan ayat promosi sedemikian menimbulkan kebimbangan kerana pengguna, khususnya golongan muda mungkin tidak menyedari bahawa produk dipersembahkan sebagai penyegar mulut, gula-gula berperisa atau pilihan gaya hidup sihat itu sebenarnya mengandungi nikotin.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff menggesa kerajaan untuk memperketatkan pemantauan dan kawalan terhadap penjualan uncang nikotin yang semakin mudah diperoleh secara dalam talian kerana dikhuatiri menyumbang kepada ketagihan dalam kalangan orang muda.
Katanya, Cake sendiri baru pertama kali mendengar mengenai produk itu, namun memandang serius kemunculannya di pasaran yang menambahkan lagi kebimbangan terhadap kepelbagaian produk nikotin termasuk rokok dan rokok elektronik.
“Kita nampak pelbagai jenis rokok dan rokok elektronik, hari ini keluar pula uncang nikotin. Kita bimbang kemungkinan sindiket guna uncang nikotin pula untuk edar dadah dan menyasarkannya kepada remaja dan orang muda,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Ujarnya, penggunaan uncang nikotin perlu diberi perhatian serius kerana produk berkenaan tidak mengeluarkan asap, sebaliknya meletakkannya di dalam mulut, sekali gus mungkin menyebabkan pengguna memandang ringan risiko ketagihan.
“Walaupun tidak mengeluarkan asap, penggunaannya tetap melibatkan nikotin dan dikhuatiri boleh menyebabkan ketagihan serta menjejaskan kesihatan termasuk risiko berkaitan degupan jantung dan masalah kesihatan mulut.
“Kerajaan serta pengawal selia berkaitan racun dan dadah perlu mengambil tindakan terhadap perkara ini. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga perlu mengambil tindakan tegas, termasuk menyekat penjual yang menawarkan produk ini secara dalam talian supaya tidak terus berleluasa,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta ibu bapa meningkatkan pengawasan terhadap anak masing-masing, termasuk memantau penggunaan telefon bimbit dan aktiviti pembelian dalam talian bagi mengelakkan mereka terjebak dengan produk yang boleh membawa kepada ketagihan.
Kredit sumber: KOSMO! ONLINE
