Manila: Pihak berkuasa Filipina merampas dadah berkualiti tinggi bernilai keseluruhan 366.65 juta peso (kira-kira RM23.6 juta) daripada sebuah kapal layar yang rosak dan dibawa ke Teluk Subic, Pulau Luzon untuk pembaikan.
Biro Kastam Filipina (BOC) dilapor Philstar berkata, rampasan itu dibuat selepas pemeriksaan pada awal 2 September lalu menemukan 98.33 kilogram (kg) ganja di dalam kapal terbabit yang dianggarkan 162.2 juta peso (kira-kira RM10.46 juta).
BOC dan agensi berkaitan kemudian melaksana pemeriksaan susulan termasuk meleraikan sebahagian struktur kapal pada Sabtu lalu, yang membawa kepada penemuan tambahan 123.91kg ganja lagi dalam 109 bungkusan.
Penemuan pada Sabtu itu menjadikan jumlah keseluruhan ganja yang dirampas adalah 222.24 kg dengan nilai pasaran 366.65 juta peso (kira-kira RM23.6 juta).
Ketua Kastam Daerah Subic, Geniefelle Lagmay berkata, pemeriksaan awal dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat mencurigakan mengenai sebuah kapal layar yang mengalami kerosakan dan mendapatkan khidmat pembaikan di Subic Bay Yacht Club (SBYC).
Kapal layar itu dinaiki empat warga Thailand dan Malaysia dan dilaporkan dalam perjalanan dari Kota Kinabalu, Malaysia menuju ke Taiwan.
Ia mengalami masalah enjin di laut dan menghantar isyarat kecemasan untuk bantuan.
Menurut Pihak Berkuasa Metropolitan Subic Bay (SBMA), kapal berkenaan dibawa ke SBYC untuk dibaiki pada 28 Ogos lalu bersama empat anak kapal.
Bagaimanapun, pekerja pembaikan menemui beberapa beg plastik yang disyaki mengandungi bahan terlarang di ruang dalam bilik enjin sebelum melaporkannya kepada pengurusan SBYC.
Pasukan petugas bersama BOC, SBMA, Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) serta unit polis Zambales dan Olongapo City kemudian menjalankan pemeriksaan bermula 2 September lalu.
Ketika ini, BOC dilapor sedang mengenal pasti pemilik dan penerima dadah berkenaan selain menyiasat kemungkinan kaitannya dengan sindiket dadah tempatan dan antarabangsa.
Ganja yang dirampas diserahkan kepada PDEA untuk tindakan lanjut, manakala polis Olongapo City dengan sokongan unit risikan tempatan sedang berusaha mengesan empat kru kapal layar terbabit.
Kredit sumber: Agensi/Harian Metro
