KOTA BELUD: Seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditemui dalam keadaan tergantung di dalam sebuah bilik di sebuah rumah tidak bernombor di daerah ini, pada 7 September lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Supt. Khairul Shah Peri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.20 petang pada hari berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditemui dalam keadaan tergantung di dalam sebuah bilik di sebuah rumah tidak bernombor.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital Kota Belud,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 7 September 2026.
Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Belud bagi menjalani bedah siasat.
“Siasatan awal yang dijalankan setakat ini tidak menemukan sebarang unsur jenayah,” katanya.
Khairul Shah berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian yang boleh menjejaskan siasatan pihak berkuasa.
Mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Frankie Pain di talian 019-2151132. – DAKWAT RAKYAT POST
