KOTA KINABALU: Seramai 111 mangsa kebakaran Kampung Numbak menerima bantuan peribadi daripada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman serta sumbangan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), kelmarin.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh TYT Tun Musa dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Masyarakat Damai.
Bantuan itu disalurkan kepada penduduk yang terjejas susulan kebakaran yang berlaku di Kampung Numbak pada 30 Ogos lalu.
Kejadian berkenaan menyebabkan sejumlah penduduk kehilangan tempat tinggal dan berdepan keperluan mendapatkan bantuan bagi meneruskan kehidupan selepas musibah tersebut.
Sebelum majlis penyampaian sumbangan, TYT Tun Musa turut menerima taklimat berhubung kejadian kebakaran berkenaan yang disampaikan oleh Datuk Bandaraya Kota Kinabalu.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman; Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal; Datuk Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah serta Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Ag Shahminan Sahari.
Sumbangan tersebut diharap dapat membantu meringankan beban 111 mangsa yang terjejas serta memberi sokongan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan selepas kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran berkenaan. – DAKWAT RAKYAT POST
