MARAN: Seorang penjawat awam ditahan, kelmarin, kerana disyaki merakam video dan gambar seorang lelaki secara sembunyi ketika mangsa berada di dalam tandas sebuah pasar raya di Bandar Jengka, dekat sini.
Suspek lelaki tempatan berusia 39 tahun itu ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, berkata ia susulan laporan diterima pada Isnin lalu daripada seorang lelaki berusia 22 tahun.
Beliau berkata, pengadu mendakwa terdapat video dirinya dirakam oleh individu tidak dikenali ketika berada di dalam tandas sebuah pasar raya.
“Susulan laporan itu, BSJD IPD Maran menjalankan siasatan dan operasi sebelum menahan seorang lelaki tempatan yang juga penjawat awam.
“Suspek ditahan di hadapan sebuah restoran nasi kandar berhampiran pasar raya itu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kim Wai berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku merakam video dan mengambil gambar pengadu ketika mangsa berada di dalam tandas itu.
Beliau berkata, polis turut merampas telefon bimbit milik suspek yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu, bagi membantu siasatan.
“Suspek direman tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian/Disiarkan pada 10 September 2026
