SEMPORNA: Krisis bekalan air yang melanda sebahagian penduduk di Semporna didakwa berlarutan hampir dua minggu, menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan bekalan air dengan membeli pada harga antara RM55 hingga RM65 bagi setiap tangki.
Naib Presiden Parti Impian Sabah, Mohd Lipai @ Samsu Haji Sundalu, berkata keadaan berkenaan bukan sahaja menyukarkan kehidupan harian penduduk, malah memberi tekanan tambahan kepada kewangan, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Menurutnya, bekalan air bersih adalah keperluan asas yang sepatutnya dapat dinikmati rakyat dan kerajaan perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan penduduk yang terjejas tidak terus berdepan kesukaran mendapatkan bekalan.
“Air bersih adalah hak asasi setiap manusia, bukan barang dagangan untuk dieksploitasi semasa krisis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Lipai yang juga Pengerusi Parti Impian Sabah bagi DUN N.65 Senallang menggesa kerajaan menyalurkan bekalan air secara percuma terus kepada kediaman penduduk yang terjejas.
Beliau berkata, langkah berkenaan penting bagi meringankan beban penduduk yang terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk mendapatkan bekalan air sepanjang tempoh gangguan.
Dalam pada itu, beliau turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap apa yang didakwanya sebagai usaha mengeksploitasi harga air ketika penduduk berdepan krisis bekalan.
Antara langkah yang dicadangkan termasuk penghantaran bekalan air kecemasan secara terus ke rumah penduduk tanpa sebarang bayaran, selain tindakan menyelesaikan punca sebenar gangguan bekalan air supaya masalah berkenaan tidak terus berulang.
Mohd Lipai juga menggesa pihak berkuasa melakukan pemantauan serta kawalan terhadap harga jualan air sepanjang tempoh krisis bagi memastikan penduduk tidak terus dibebankan dengan kos mendapatkan bekalan air.
“Kami di Parti Impian Sabah sentiasa berdiri bersama rakyat Semporna. Rintihan ini mesti didengar dan ditindaklanjuti segera,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
