PUTRAJAYA: Penerbangan terus yang menghubungkan Kota Kinabalu dengan Bintulu dan Sibu disambung semula mulai November ini, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan udara antara Sabah dan Sarawak, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata keputusan AirAsia itu dicapai susulan beberapa pertemuan dan perbincangan diadakan baru-baru ini mengenai keperluan memulihkan kedua-dua laluan tersebut bagi memperkukuh kesalinghubungan udara antara Sabah dan Sarawak, khususnya bagi penduduk Bintulu dan Sibu.
King Sing berkata laluan Kota Kinabalu-Bintulu akan kembali beroperasi mulai 1 Nov dengan tiga penerbangan seminggu, manakala Kota Kinabalu-Sibu bermula 2 Nov dengan empat penerbangan seminggu menggunakan pesawat Airbus A320, selain tiket telah mula dijual sejak 2 Sept lepas.
“Ramai yang bergantung kepada penerbangan terus ini untuk urusan pekerjaan, pendidikan, perniagaan, pelancongan, perubatan dan menziarahi keluarga. Tanpa perkhidmatan penerbangan terus, penumpang mungkin terpaksa transit di lapangan terbang lain, sekali gus menyebabkan tempoh perjalanan mereka menjadi lebih panjang dan melibatkan kos tambahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
King Sing berkata kesalinghubungan yang lebih kukuh antara Sabah dan Sarawak bukan sahaja penting bagi memudahkan perjalanan, malah turut menyokong kegiatan ekonomi, pelancongan domestik serta mengeratkan hubungan rakyat antara kedua-dua negeri.
“Perkhidmatan Kota Kinabalu–Bintulu akan memberi kemudahan lebih baik kepada penduduk, golongan pekerja dan komuniti perniagaan, selaras dengan perkembangan berterusan Bintulu sebagai sebuah pusat perindustrian dan ekonomi. Laluan Kota Kinabalu–Sibu juga akan memberi manfaat kepada penduduk Sibu serta kawasan tengah Sarawak secara keseluruhannya,” katanya.
Pada masa sama, King Sing mengingatkan syarikat penerbangan supaya memastikan perkhidmatan yang disediakan stabil dan boleh dipercayai, selain mengelakkan pembatalan kerap atau perubahan jadual pada saat akhir yang boleh menjejaskan keyakinan penumpang.
Beliau turut menggesa AirAsia supaya mengekalkan tambang pada kadar berpatutan sejauh yang dibenarkan keadaan pasaran supaya penambahan pilihan penerbangan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita akan terus berhubung dengan syarikat-syarikat penerbangan dan pihak berkuasa berkaitan untuk menambah baik kesalinghubungan udara Sabah–Sarawak, menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada penumpang serta memastikan perkhidmatan penerbangan kita berkembang seiring dengan keperluan rakyat dan pembangunan kedua-dua negeri,” katanya.
Kredit sumber: BERNAMA/Astro AWANI
