KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merampas sebuah bot pancung yang membawa muatan ikan disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan di perairan barat daya Pulau Mengalum, di sini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, bot peronda Maritim Malaysia mengesan bot berkenaan kira-kira jam 4.30 petang ketika melaksanakan rondaan berkala.
Menurutnya, ketika bot peronda cuba menghampiri bagi menjalankan pemeriksaan, bot pancung berkenaan bertindak melarikan diri dengan memecut ke kawasan cetek berhampiran.
“Kesemua kru kemudiannya terjun dari bot dan melarikan diri ke daratan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa beberapa peralatan menyelam serta muatan ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.
Pemeriksaan lanjut terhadap hasil tangkapan mendapati keputusan ujian awal adalah positif, menunjukkan ikan berkenaan dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.
Bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan seberat kira-kira 80 kilogram itu kemudian disita dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia, Sepanggar untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(b) akta sama.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Mohd Khairulanuar berkata, kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan terlarang seperti bahan letupan boleh memberi kesan buruk terhadap ekosistem marin, selain memusnahkan habitat dan sumber perikanan.
“Komuniti maritim dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti menangkap ikan yang melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
“Orang awam juga dimohon menyalurkan maklumat dengan segera sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara,” katanya.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan kira-kira RM45,000.
Sebarang maklumat dan aduan boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-387 774 atau melalui MERS 999 bagi kes kecemasan di laut.
