KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepas dan dibebaskan (DAA) oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pembelaan supaya empat daripada tujuh kes dihadapi Muhyiddin diberi perintah DAA.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah, pendakwaan memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dan tidak meneruskan empat tuduhan itu, dengan menggunapakai peruntukkan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
Dalam keputusannya, Noor Ruwena berkata, mahkamah membuat keputusan DAA itu selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak dan undang-undang yang dikemukakan mengikut Seksyen 254(1) KTJ.
Katanya, ia memperuntukkan, pada mana-mana peringkat perbicaraan sebelum penghakiman disampaikan, pendakwa raya boleh memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya tidak akan meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh bagi sesuatu pertuduhan.
“Pendakwaan tidak memberikan sebarang alasan bagi permohonan berkenaan, selain menyatakan pihaknya tidak mahu meneruskan pertuduhan dan menyerahkan perkara ini kepada budi bicara mahkamah.
“Justeru, saya berpandangan demi kepentingan keadilan, budi bicara mahkamah hendaklah dilaksanakan memihak kepada tertuduh.
“Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan berkenaan,” katanya.
Hanya terpakai bagi empat pertuduhan
Bagaimanapun, Noor Ruwena berkata, keputusan itu hanya terpakai terhadap empat pertuduhan sahaja dan tidak membabitkan tiga pertuduhan lain yang berkaitan dengan kes Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Sebaik hakim memutuskan demikian, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh yang berada di kandang tertuduh, kelihatan lega, disambut sorakan daripada penyokongnya yang berada di galeri awam.
Muhyiddin, 79, masih berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta pengarahnya, Datuk Seri Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Kredit sumber: Berita Harian
