JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menamatkan operasi pencarian lapan individu, termasuk lima petugas media yang dilaporkan hilang berhampiran gunung berapi Anak Krakatau.
Penamatan operasi dibuat selepas pasukan penyelamat gagal menemukan sebarang jejak bot atau penumpangnya, menurut seorang pegawai, hari ini, lapor Xinhua.
Bot laju itu terputus hubungan pada 7 September ketika membawa lima petugas media dan tiga anak kapal di Selat Sunda.
Pasukan mencari dan menyelamat tidak menemukan sebarang tanda bot berkenaan atau mereka yang berada di dalamnya, kata Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Banten, Al Amrad.
Amrad berkata, operasi itu ditamatkan selaras dengan peraturan agensi itu selepas usaha pencarian selama tujuh hari tidak membuahkan hasil.
“Pada hari ketujuh, kami tidak menemukan sebarang tanda atau objek,” katanya memetik laporan polis perairan dan tentera laut.
Polis sedang menjalankan pemeriksaan terhadap satu mayat yang ditemukan di Pulau Enggano bagi menentukan kemungkinan kaitannya dengan kes itu, namun keputusan ujian DNA masih belum dikeluarkan.
Amrad berkata, operasi pencarian boleh disambung semula sekiranya terdapat maklumat baharu atau serpihan yang mempunyai kaitan dengan bot yang hilang itu ditemukan.
Pihak berkuasa memaklumkan kapal yang melalui Selat Sunda dan menggesa nelayan serta penduduk yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi polis atau agensi mencari dan menyelamat.
Kredit sumber: BERNAMA-XINHUA/Berita Harian
