KOTA BHARU: Pengaruh pasangan sama ada suami atau teman lelaki dikenal pasti sebagai antara punca utama jumlah penagih dadah dalam kalangan wanita di Kelantan meningkat kepada 598 orang tahun lalu berbanding 526 pada tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, berkata hasil kajian mendapati tekanan hidup adalah faktor utama yang diakui oleh keseluruhan responden, dengan sebahagian besarnya berpunca daripada konflik rumah tangga dan perlakuan suami yang sering mencetuskan masalah.
“Keadaan itu mendorong wanita menggunakan dadah sebagai satu mekanisme daya tindak untuk melupakan keresahan serta sakit hati terhadap pasangan mereka,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Selain tekanan emosi, Ruslin berkata, wanita juga sering menjadi mangsa manipulasi psikologi oleh pasangan yang menormalkan penggunaan dadah atas alasan kecantikan dan produktiviti.
“Mereka juga dipengaruhi orang terdekat untuk percaya bahawa dadah jenis stimulan dapat membantu menguruskan badan, mengempiskan perut selepas bersalin, serta memberikan tenaga berlebihan untuk menyelesaikan kerja rumah dengan lebih pantas.
“Realiti di lapangan menunjukkan pembabitan wanita di negeri ini jarang berlaku secara sendirian, sebaliknya risiko keterlibatan menjadi sangat tinggi apabila mereka hidup dalam persekitaran keluarga mempunyai ahli (terutama suami) yang turut menagih,” katanya.
Beliau berkata, kitaran berkenaan menjadi semakin buruk akibat faktor pengabaian dan kesunyian, terutama selepas berlaku perceraian atau keretakan hubungan yang menyebabkan wanita mencari ketenangan sementara melalui penggunaan bahan terlarang.
“Dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants merupakan bahan terlarang yang tertinggi diambil golongan wanita di Kelantan pada tahun lalu membabitkan seramai 557 orang, manakala golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun pula paling ramai terbabit penyalahgunaan dadah dengan merekodkan 409 orang.
“Secara tuntasnya, penagihan oleh wanita di Kelantan sering kali merupakan manifestasi daripada tekanan interpersonal dan manipulasi oleh pasangan dalam sebuah ekosistem domestik yang tidak sihat,” katanya.
Beliau berkata, AADK turut mengukur keberkesanan atau pencapaian Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) berdasarkan Indeks Kepulihan Klien (IKK) di mana pencapaian bagi klien wanita ialah 76.4 peratus pada tahun lalu.
“Daripada 55 klien wanita yang dinilai, 42 berjaya mencapai tahap kepulihan dalam kategori baik dan cemerlang.
“Angka itu mencerminkan keberkesanan sokongan pusat pemulihan dan pembabitan aktif keluarga dalam membantu klien wanita mengekalkan kepulihan mereka dalam komuniti,” katanya.
Kredit sumber: BERNAMA/Berita Harian
