PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan membayangkan kemungkinan berita baik berkaitan kenaikan gaji dalam Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan perkara berkenaan.
Ramanan berkata, beliau tidak mahu mendedahkan lebih banyak perkara berkaitan pengumuman Belanjawan 2027 kerana ia sewajarnya diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri.
“Memang ada berita yang bagus. Kita biar Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang umumkan.
“Memang saya lihat negara akan lebih maju kali ini. Perkembangan yang akan dibawa adalah kepada tahap kita nak capai ‘first-world standing’.
“Kita bagi peluang kepada belanjawan kali ini untuk sesuatu yang betul-betul bagus yang akan diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) ke-17 di sini, hari ini.
Ditanya lanjut mengenai khabar gembira itu, Ramanan sekadar berkata, beliau serahkan kepada Perdana Menteri untuk mengumumkannya ketika pembentangan Belanjawan 2027.
“Tak boleh (beritahu) banyak, nanti saya kena marah. Nak ‘hint’ (pentunjuk) ? Nak naik gaji?” katanya.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober ini.
Kredit sumber: Berita Harian
