KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mahu pelaksanaan agenda teknologi kerajaan (GovTech) memberi keutamaan kepada pengalaman rakyat serta penyampaian perkhidmatan secara proaktif bagi memastikan urusan dengan kerajaan menjadi lebih mudah, cepat dan mesra pengguna.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pendekatan GovTech perlu berasaskan konsep yang meletakkan rakyat sebagai fokus utama, termasuk mengurangkan keperluan orang ramai untuk berulang kali mendapatkan perkhidmatan kerajaan secara manual.
Katanya, penggunaan teknologi seharusnya membolehkan perkhidmatan kerajaan disampaikan secara lebih terus, lancar dan mudah diakses tanpa dibebani prosedur yang tidak perlu.
“Teknologi perlu dimanfaatkan supaya perkhidmatan kerajaan dapat sampai kepada rakyat secara terus, lancar dan mesra pengguna,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Seminar Digital@Sabah Edisi Ke-18 dan Digital Tamu 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada 22 September.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata transformasi digital turut mempunyai peranan penting dalam mempertingkat kemudahan menjalankan perniagaan di Sabah, sekali gus membantu menarik lebih banyak pelaburan dan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kemajuan teknologi semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak disertai perubahan sikap dan pemikiran dalam kalangan penjawat awam.
Menurutnya, tahap kecekapan, integriti dan empati penjawat awam merupakan elemen penting yang menentukan keberkesanan penggunaan teknologi dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata pemodenan sektor awam menerusi GovTech juga berupaya mengurangkan kebergantungan kepada sistem kerja secara berasingan antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Integrasi data dan sistem antara agensi di peringkat Persekutuan dan negeri merupakan keperluan penting untuk mewujudkan perkhidmatan kerajaan yang lebih pantas, mudah dan telus,” katanya.
Hajiji berkata usaha tersebut amat penting dalam menangani jurang sosioekonomi serta memastikan manfaat pembangunan digital turut dirasai masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa peningkatan penggunaan teknologi digital perlu disertai tahap keselamatan siber yang kukuh, khususnya dalam melindungi data peribadi rakyat yang dikendalikan oleh agensi kerajaan.
Beliau turut menyambut baik penganjuran Digital Tamu yang berlangsung serentak sebagai usaha kerajaan negeri dan Persekutuan memperkukuh ekosistem ekonomi digital tempatan, terutama dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Menurut Hajiji, acara berkenaan menghimpunkan kira-kira 30 pempamer, termasuk syarikat teknologi tempatan yang memperkenalkan pelbagai penyelesaian digital serta teknologi terkini.
Katanya, penglibatan agensi seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) turut membantu memudahkan usaha pendigitalan perniagaan PMKS di Sabah.
Beliau berharap para usahawan tempatan dapat menggunakan sepenuhnya kemudahan dan peluang yang disediakan menerusi program berkenaan bagi memastikan perniagaan mereka kekal berdaya tahan serta mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan ekonomi digital. – DAKWAT RAKYAT POST
