LAHAD DATU, 23 September 2026 – Sebuah bot nelayan yang menggunakan pukat jerut bilis ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas disyaki melanggar syarat lesen ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Kunak, semalam.
Penahanan itu dilakukan menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu di sekitar perairan berkenaan.
Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot terbabit dikesan dan ditahan kira-kira 0.8 batu nautika timur laut Pulau Burong, Madai, Kunak, pada jam 12.35 tengah hari.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati bot berkenaan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan seperti ditetapkan dalam syarat lesen.
“Bot tersebut dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 42 tahun bersama tiga awak-awak warga Filipina berumur antara 21 hingga 41 tahun.
“Pemeriksaan turut mendapati kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melakukan kesalahan dengan menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.
Maritim Malaysia berkata, usaha penguatkuasaan akan terus diperkasakan bagi memastikan pengusaha bot serta komuniti nelayan mematuhi setiap syarat lesen dan peraturan perikanan yang ditetapkan.
Langkah itu penting bagi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara selain membantu menjamin keselamatan perairan negara.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah maritim atau memerlukan bantuan ketika berada di laut boleh menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu menerusi WhatsApp di talian 016-930 5727.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya memerlukan tindakan segera. – DAKWAT RAKYAT POST
