KUALA LUMPUR: Sebanyak enam kawasan di negara ini merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pagi ini, dengan Johor mencatatkan empat kawasan terjejas.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Pasir Gudang dan Kota Tinggi masing-masing merekodkan bacaan IPU 163, diikuti Pengerang (161) dan Larkin (155).
Di Sarawak, IPD Serian mencatatkan bacaan IPU 150, manakala Sri Aman merekodkan bacaan 124.Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 0 hingga 50 dianggap baik dan 51 hingga 100 sederhana.
Keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan itu dipercayai dipengaruhi oleh pergerakan asap rentas sempadan susulan kebakaran hutan dan tanah gambut di rantau ini.
Orang ramai, terutama kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan dan penyakit jantung, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan kualiti udara terus merosot.
Pihak berkuasa juga menggalakkan orang ramai mengikuti perkembangan semasa bacaan IPU menerusi laman sesawang APIMS dan mematuhi nasihat kesihatan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.
Sumber- Astro Awani
