LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah membongkar kegiatan penyimpanan kira-kira 52 metrik tan isirung kelapa sawit tanpa lesen sah dalam serbuan di sebuah premis di Jalan POIC, di sini, semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan dijalankan Unit Risik Marin PPM Wilayah 4 Sabah selepas pihaknya menerima maklumat dan menjalankan risikan berhubung aktiviti pemindahan isirung kelapa sawit di premis terbabit.
Katanya, hasil pemantauan mendapati aktiviti pemindahan isirung kelapa sawit daripada sebuah lori treler ke dalam premis berkenaan sedang dijalankan sebelum pasukan serbuan bertindak.
“Serbuan itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 54 dan 35 tahun, manakala beberapa individu lain dipercayai melarikan diri ke kawasan semak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan di premis terbabit menemukan kira-kira 52 metrik tan isirung kelapa sawit selain sebuah lori treler Nissan Diesel, dua jentera Caterpillar serta alat sukat bersama kelengkapannya.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM709,000,” katanya.
Ahmad Amri berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005 di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).
Katanya, kesemua rampasan akan diserahkan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Cawangan Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
“Sepanjang tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 14 kes di bawah akta berkenaan dengan 27 tangkapan serta nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM9.35 juta,” katanya.
Beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebatkan risikan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang serta memastikan kepentingan ekonomi negara terus dilindungi.
