KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 37 tahun parah dan dilaporkan kritikal selepas bahan letupan yang dipercayai sedang dihasilkannya untuk menangkap ikan meletup di dapur sebuah rumah di Kampung Keliangau, Menggatal, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada kedua-dua tangan dan perut.
Mangsa pada awalnya dibawa ke Klinik Kesihatan Menggatal sebelum dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang menghasilkan bahan letupan buatan sendiri bagi tujuan menangkap ikan ketika kejadian berlaku.
Katanya, letupan itu berlaku di bahagian dapur rumah berkenaan yang terletak di Jalan Reflesia, Kampung Keliangau.
“Susulan kejadian, sepasukan anggota polis bersama Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menjalankan pemeriksaan di lokasi.
“Pemeriksaan menemukan beberapa bahan yang disyaki digunakan untuk menghasilkan bom ikan buatan sendiri. Semua bahan berkenaan dirampas bagi tujuan pemeriksaan teknikal dan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Shahrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar letupan, sumber bahan yang digunakan serta kemungkinan pembabitan individu lain.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menghasilkan, memiliki atau mengendalikan bahan letupan tanpa kebenaran sah kerana perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengancam keselamatan diri dan orang sekeliling.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.-DAKWAT RAKYAT POST
