KOTA MARUDU: Hasrat seorang ibu menghantar anaknya ke sekolah berakhir tragedi apabila dia maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah Toyota Hilux berhampiran simpang masuk Sekolah Kebangsaan (SK) Marak-Parak, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.19 pagi itu, mangsa, Liza Jius, 34, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan di kepala, manakala anak perempuannya yang berusia tujuh tahun terselamat tetapi mengalami kecederaan di kepala dan tangan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simun Lomudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari Kampung Laguhang menuju ke sekolah berkenaan.
Katanya, sebuah Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 40 tahun pula dalam perjalanan dari arah Kudat menuju ke Beluran.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu Toyota Hilux dipercayai cuba memotong motosikal mangsa yang berada di hadapannya.
“Bagaimanapun, motosikal itu membelok ke simpang masuk sekolah sebelum berlaku pelanggaran antara kedua-dua kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan pada jam 6.39 pagi, manakala anaknya dibawa ke Hospital Kota Marudu menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan.
Pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Marudu untuk bedah siasat yang dijadualkan esok.
Simun berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.-DAKWAT RAKYAT POST
