Jakarta: Lebih 9,000 anggota polis Indonesia dikerahkan di ibu negara pada Selasa bagi mengawal bantahan sempena dua tahun Presiden Prabowo Subianto dan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka memegang jawatan, susulan tinjauan menunjukkan popularitinya semakin merosot.
Jurucakap polis Jakarta, Budi Hermanto berkata, penuntut daripada sekurang-kurangnya dua universiti mengadakan bantahan di beberapa lokasi di bandar raya itu, sekali gus memerlukan pengerahan kira-kira 9,500 anggota polis.
Badan pelajar Universiti Indonesia berkata, bantahan itu akan membangkitkan isu kebakaran hutan baru-baru ini dan kejatuhan mendadak pasaran saham, bersama-sama kelemahan rupiah, menjadi petanda ‘kerapuhan ekonomi negara’.
Bagaimanapun, jumlah penuntut yang akan menyertai demonstrasi itu masih belum diketahui.
Kumpulan alam sekitar Greenpeace turut menggantung sepanduk pada sebuah monumen utama di Jakarta pada Selasa dengan mesej ‘Tangani krisis iklim, turunkan kos sara hidup’.
Terdahulu, Prabowo mengangkat sumpah sebagai presiden pada 20 Oktober 2024 selepas memenangi pilihan raya dengan majoriti besar, namun kini berdepan cabaran memulihkan keyakinan orang ramai, sektor perniagaan dan pelabur.
Mereka bimbang terhadap kesan ekonomi daripada program populis Prabowo yang bercita-cita tinggi.
Dalam pada itu, penarafan kelulusan terhadap beliau dalam tinjauan Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC) merosot secara berterusan sejak penghujung tahun lalu, dengan paras terendah 44.5 peratus dicatatkan pada bulan ini berbanding 81.2 peratus pada November tahun lalu.
Bantahan besar terakhir di Indonesia berlangsung pada Ogos lalu, apabila ratusan individu ditahan.
Sebelum itu, bantahan di seluruh Indonesia tercetus pada 2025 susulan kejadian seorang pemandu teksi motosikal dibunuh polis, dengan beberapa individu terbunuh ketika kekacauan berkenaan berlaku.
Kredit sumber: Harian Metro
