JAKARTA – Pihak berkuasa Kastam dan Eksais Indonesia menggagalkan cubaan mengeksport secara haram 25.88 kilogram emas bernilai 61.95 bilion rupiah(RM14 juta) menerusi lima lapangan terbang antarabangsa pada bulan ini, lapor agensi berita ANTARA hari ini.
“Sepanjang Oktober 2026, pegawai Kastam merampas 25.88 kilogram emas bernilai kira-kira 61.95 bilion rupiah di lima lapangan terbang antarabangsa,” kata Pengarah Penguatkuasaan dan Siasatan Direktorat Besar Kastam dan Eksais, Priyono Triatmojo dalam satu sidang akhbar di Jakarta semalam.
Menurutnya, sebahagian besar mereka yang terlibat dalam eksport emas haram tersebut merupakan warga asing yang cuba membawa emas ke luar negara.
Lima lapangan terbang berkenaan ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di wilayah Jawa Timur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati di Jawa Barat, Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai di Bali, Lapangan Terbang Antarabangsa Yogyakarta dan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Banten.
“Negara ini sedang mengambil tindakan untuk melindungi sumber semulajadinya, selaras dengan komitmen kerajaan melaksanakan visi dan program Asta Cita Presiden (Prabowo Subianto,” kata Priyono.
Beliau mengulangi komitmen Kastam mengawal pintu masuk dan keluar negara daripada penyeludupan, terutamanya pergerakan haram sumber semulajadi.
Kastam telah menahan mereka yang disyaki terlibat dan merampas emas berkenaan sebagai bahan bukti untuk tindakan undang-undang selanjutnya.
Siasatan dan operasi penguatkuasaan tersebut melibatkan penyelarasan dengan Badan Reserse Kriminal Kepolisian Negara Republik Indonesia, Tentera Nasional Indonesia, Pejabat Peguam Negara, dan pihak berkuasa lapangan terbang berkaitan.
Kredit sumber: AGENSI/Kosmo! Online
