LIMA – Polis Peru menggunakan taktik luar biasa dengan menyamar sebagai pelajar dan pesakit berkerusi roda bagi menyerbu sebuah kediaman yang dipercayai menjadi markas kegiatan pengedaran dadah.
Dalam operasi yang seakan-akan babak filem aksi itu, seorang anggota polis yang menyamar sebagai pesakit tiba-tiba bangkit dari kerusi roda sebelum merempuh pintu besi rumah suspek menggunakan tukul besi dalam serbuan di daerah San Juan de Miraflores.
Bagi mengelakkan operasi mereka dihidu suspek, beberapa anggota polis turut memakai pakaian seragam sekolah dan menyamar sebagai pelajar.
Ketika serbuan dimulakan, seorang anggota polis menjerit kepada rakannya yang duduk di kerusi roda, “Bangkitlah, Lazarus!”
Mendengar arahan itu, anggota berkenaan secara tiba-tiba bangkit lalu merempuh pintu besi rumah suspek menggunakan tukul besi yang disembunyikannya.
Pada masa sama, anggota lain yang menyamar sebagai pelajar memanjat ke tingkat atas bangunan menggunakan tangga sebelum mengepung laluan keluar bagi menghalang suspek daripada melarikan diri.
Pasukan polis kemudian menyerbu masuk menerusi pintu dan tingkap sebelum berjaya menahan tiga individu dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dadah, Los Santurrones.
Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis merampas sejumlah bahan terlarang termasuk 2,270 paket pes asas kokain dan 47 gram bahan sama.
Ketua unit Escuadron Verde yang mengetuai operasi itu, Kolonel Pedro Rojas Tipto berkata, penyamaran itu membolehkan mereka menghampiri kediaman suspek tanpa menimbulkan syak wasangka.
Kesemua suspek dibawa ke Unit Siasatan Jenayah San Juan de Miraflores untuk disoal siasat.
Kredit sumber: Agensi/Sinar Harian
