KOTA BHARU: Tujuh balai polis di sekitar Narathiwat, Thailand termasuk di Sungai Golok yang bersempadan Rantau Panjang, menjadi sasaran serangan termasuk letupan secara serentak awal pagi tadi.
Tujuh kawasan terjejas adalah Waeng, Buketa, Chanae, Rangae, bandar Narathiwat, Sungai Golok dan Tak Bai, dengan dua kawasan terakhir terletak bertentangan Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor di Tumpat.
Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha, mengesahkan perkara itu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
LKejadian berlaku antara jam 3.30 pagi hingga jam 7.30 pagi (waktu Thailand), membabitkan letupan yang menyasarkan tiga tiang elektrik di daerah Waeng, kerosakan pada sebuah lagi tiang elektrik di Buketa, perbuatan merosakkan kamera litar tertutup (CCTV) serta beberapa kejadian pembakaran tayar.
Bagaimanapun perkara menimbulkan tanda tanya adalah penemuan beberapa kain rentang yang memaparkan simbol luar biasa.
Salah satu kain rentang itu berupa kain putih berbentuk segi empat tepat memaparkan tiga simbol dilukis menggunakan tangan, iaitu anak panah berwarna hijau menghala ke atas di sebelah kiri, tanda soal berwarna biru di bahagian tengah dan anak panah merah menghala ke bawah di sebelah kanan.
Tiada perkataan atau slogan kelihatan pada kain rentang berkenaan.
Gabungan simbol luar biasa itu menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk mengenai maksud sebenar ingin disampaikan serta sama ada ia bertujuan membawa mesej tertentu.
Prayong berkata, kain rentang itu ditemui tergantung di beberapa lokasi termasuk tepi jalan di Rangae, bandar Narathiwat, Sungai Golok dan Tak Bai.
“Di Chanae, selain CCTV dirosakkan, polis turut menemui simbol berbentuk mata anak panah yang disembur menggunakan cat di lokasi kejadian serta satu objek mencurigakan berhampirannya.
“Di Rangae, beberapa lokasi melaporkan kejadian pembakaran tayar, manakala sebuah beg plastik hitam yang mencurigakan ditemui di salah satu lokasi.
“Di bandar Sungai Golok, satu kain rentang ditemui tergantung pada pondok perhentian di tepi jalan di hadapan Pejabat Pengangkutan Darat Sungai Golok, di daerah kecil Pasemas, berhampiran sempadan Malaysia,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, polis Thailand bersama anggota tentera dan pihak berkuasa tempatan sedang menjalankan pemeriksaan di lokasi terjejas, manakala beberapa kawasan telah dipasang garisan keselamatan atas faktor keselamatan.
Kredit sumber: Berita Harian – Disiarkan pada 20 November 2026
