London: Empat lelaki warga Britain didapati bersalah atas kesalahan merogol dan melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita yang diberi dadah oleh suaminya sendiri, dalam kes yang menyerupai skandal Gisele Pelicot di Perancis.
Mangsa, Joanne Young memilih untuk mendedahkan identitinya kepada umum selepas mengetepikan hak undang-undang bagi merahsiakan identiti mangsa jenayah seksual.
Joanne mendapati bekas suaminya, Philip Young, 50, berulang kali memberinya dadah sebelum mengiklankannya di internet untuk tujuan seks bersama orang tidak dikenali selama lebih sedekad.
Philip, bekas ahli majlis tempatan, mengaku bersalah pada Januari lalu atas lebih 50 pertuduhan membabitkan bekas isterinya, termasuk 11 pertuduhan merogol, merakam penderaan tersebut serta memuat naiknya dalam talian ratusan kali.
Jenayah itu terbongkar pada 2024 selepas satu akaun yang dikaitkan dengan Philip memuat naik imej persetubuhan dengan haiwan.
Susulan itu, polis merampas peranti miliknya dan menemukan ribuan video serta imej penderaan berkenaan.
“Ini adalah antara kesalahan seksual paling dahsyat yang pernah saya kendalikan sepanjang kerjaya. Sukar untuk menggambarkan dengan kata-kata mimpi ngeri yang terpaksa dilalui Joanne Young,” kata Pendakwa Raya Pakar, Perkhidmatan Pendakwaan Diraja (CPS), James Foster.
Dalam perbicaraan di Mahkamah Diraja Winchester di selatan England semalam, juri mensabitkan kesalahan terhadap Richard Clive Wilkins, 62, atas tuduhan merogol dan melakukan serangan seksual menggunakan objek; Norman Macksoni, 48, (merogol); Connor Sanderson-Doyle, 32, (serangan seksual dan serangan seksual menggunakan objek) dan Mohammed Hassan, 38, bagi serangan seksual.
Ketika membela diri, kesemua tertuduh memberi alasan yang hampir sama dengan sebahagian besar daripada 50 lelaki dalam kes Dominique Pelicot di Perancis, iaitu menyangka Joanne memberikan persetujuan dan menganggap ia sebagai fantasi seksual bersama suaminya.
Bagaimanapun, pendakwa raya Sarah Jones mendedahkan bahawa mangsa diikat pada katil dengan mata tertutup berdasarkan iklan dalam talian yang menawarkannya kepada orang tidak dikenali tanpa mengira usia atau bangsa.
Selepas keputusan diumumkan, Hakim Pushpinder Saini memuji keberanian luar biasa Joanne.
Seorang lagi tertuduh, Dean Hamilton, 47, sebelum ini turut mengaku bersalah atas tuduhan merogol dan serangan seksual.
Kesemua lima lelaki tersebut bersama Philip dijadualkan dijatuhi hukuman penjara yang berat pada Disember ini.
Kes berkenaan mempunyai persamaan ketara dengan jenayah Dominique Pelicot di Perancis pada 2024, yang mengaku memberi dadah kepada isterinya ketika itu, Gisele, sebelum mengundang puluhan lelaki untuk merogolnya.
Kes berprofil tinggi itu menggemparkan dunia dan mendorong Perancis merombak undang-undang berkaitan kesalahan rogol.
Sementara itu, Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) Britain tahun ini mendedahkan pihaknya membongkar kewujudan rangkaian antarabangsa yang mengatur jenayah rogol dan serangan seksual menggunakan dadah menerusi platform dalam talian.
Bagi membanteras sindiket global itu, pegawai penguat kuasa undang-undang dari 10 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Perancis, Jerman dan Kanada menubuhkan Projek Medusa pada April lalu yang diselaraskan oleh Agensi Kesatuan Eropah bagi Kerjasama Penguatkuasaan Undang-Undang (Europol).
Setakat Jun lalu, operasi yang diketuai penyiasat Britain dan Jerman itu membawa kepada 113 siasatan, 57 tangkapan serta menyelamatkan 158 mangsa.
Menurut CPS, polis Britain sudah mengadakan perbincangan dengan penyiasat kes Pelicot di Perancis, termasuk mendapatkan khidmat pakar toksikologi yang sama.
Foster turut memaklumkan kepada pemberita bahawa ini merupakan kali pertama juri di Britain diminta mempertimbangkan kes penderaan seksual terancang menggunakan dadah yang didalangi suami mangsa sendiri.
Kredit sumber: REUTERS/Berita Harian
