MEXICO CITY: Sebelas individu terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan bersenjata dengan pasukan keselamatan susulan penahanan seorang daripada 10 penjenayah paling dikehendaki di barat laut Mexico.
Menurut Kementerian Pertahanan Mexico semalam, tujuh individu disyaki penjenayah dan empat anggota tentera maut dalam kejadian itu.
Pertempuran berlaku selepas pasukan keselamatan menahan Fausto Isidro Meza Flores, yang dikenali sebagai ‘Chapo Isidro’, dalam satu operasi di Guasave, negeri Sinaloa, kelmarin.
Kumpulan bersenjata bertindak menentang operasi itu dengan menyekat jalan raya di beberapa bandar.
Media tempatan melaporkan beberapa kenderaan dibakar dan bunyi tembakan kedengaran, termasuk tembakan dilepaskan dari helikopter tentera.
Satu perlawanan besbol di Guasave terpaksa dihentikan akibat kejadian itu. Rakaman televisyen menunjukkan pemain berlari meninggalkan padang ketika bunyi letupan kuat kedengaran.
Kerajaan negeri Sinaloa kemudian memaklumkan keadaan sudah terkawal. Bagaimanapun, pasukan keselamatan masih ditempatkan di kawasan terbabit bagi membersihkan jalan yang disekat dan memulihkan ketenteraman.
Meza Flores ditahan bersama dua individu yang dipercayai sekutunya, iaitu sepupunya yang didakwa bertindak sebagai timbalan ketua kumpulan itu dan abang iparnya yang dipercayai menguruskan kewangan kumpulan berkenaan.
Ketiga-tiga mereka diterbangkan ke Mexico City semalam sebelum diserahkan kepada pendakwa raya persekutuan yang mengendalikan kes jenayah terancang.
Meza Flores dipercayai mengetuai kartel Guasave yang mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah Beltrán Leyva.
Beliau juga pernah menjadi pesaing kepada ketua sindiket dadah Joaquín ‘El Chapo’ Guzmán yang kini dipenjarakan.
Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA) menyifatkan penahanan itu sebagai tamparan besar kepada rangkaian jenayah berkenaan yang didakwa menyeludup fentanyl dan dadah lain ke negara itu.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sebelum ini menawarkan ganjaran AS$5 juta (kira-kira RM20.5 juta) kepada sesiapa yang memberikan maklumat sehingga membawa kepada penahanan Meza Flores.
Pihak berkuasa Mexico memaklumkan beliau turut berdepan waran tangkap di negara itu. – BERNAMA-dpa/Berita Harian
