SIK: Seramai 173 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari enam negara telah dihantar pulang ke negara masing-masing menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), melibatkan terminal KLIA1 dan KLIA2.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah menerusi hantaran Facebook rasminya, operasi pemindahan itu membabitkan warga Myanmar, Bangladesh, Pakistan, India, China dan Kemboja yang sebelum ini ditempatkan di Depot Imigresen Belantik, Sik, Kedah.
Daripada jumlah keseluruhan, seramai 139 orang merupakan lelaki, 32 wanita dan dua kanak-kanak perempuan. Kos pembelian tiket penerbangan pulang ditanggung sepenuhnya oleh ahli keluarga serta majikan masing-masing.
Kesemua individu terbabit didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 sebelum menjalani hukuman yang ditetapkan sehingga selesai.
Bagi mengelakkan mereka memasuki Malaysia semula, kesemua warga asing berkenaan turut dikenakan tindakan senarai hitam dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia.
JIM Negeri Kedah memaklumkan bahawa proses penghantaran pulang itu merupakan sebahagian daripada usaha penguatkuasaan berterusan jabatan berkenaan dalam menangani pelanggaran undang-undang imigresen serta memastikan pengurusan warga asing yang melanggar peraturan dilaksanakan mengikut ketetapan undang-undang. – DRP
