KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia SPR telah mengeluarkan sebanyak 22,881 kertas undi pos kepada semua individu yang layak bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah PRU Sabah Ke-17.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata proses itu dilaksanakan mengikut peruntukan di bawah Peraturan 3 Peraturan–Peraturan Pilihan Raya Pengundi Pos 2003 bagi PRU Sabah.
Beliau berkata pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan pada 17 hingga 18 November 2025 di semua 73 Bahagian Pilihan Raya Negeri oleh petugas undi pos.
Daripada jumlah keseluruhan itu, 21,362 adalah kertas undi pos bagi kategori 1A merangkumi petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, tentera serta petugas media. Sebanyak 336 kertas undi pos diperuntukkan bagi kategori 1B iaitu warganegara Malaysia di luar negara, manakala 1,183 lagi ialah kategori 1C melibatkan agensi dan organisasi.
Proses pengeluaran kertas undi pos turut disaksikan oleh ejen undi pos mewakili parti atau calon bertanding, katanya dalam satu kenyataan.
SPR turut mengingatkan semua pengundi pos agar menandakan kertas undi dengan betul serta melengkapkan Borang Pengisytiharan Identiti Borang 2 dengan tepat sebelum penghantaran.
“Kertas undi yang telah ditanda perlu dikembalikan segera kepada Pegawai Pengurus Dewan Undangan masing-masing sebelum jam 5 petang pada hari undi iaitu 29 November 2025,” katanya.
Beliau turut menegaskan agar pengundi pos menjaga kerahsiaan undi dengan tidak merakam dan menyebarkan gambar kertas undi pos di media sosial.
