Samsiah ketika mengadakan lawatan dan berjumpa penduduk Kampung Sri Menanti.
TAWAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, Samsiah Usman, bertekad melaksanakan pembangunan lebih tersusun di Kampung Sri Menanti sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17.
Ketika ditemui selepas melaksanakan program ziarah kasih melibatkan kira-kira 30 rumah di kampung berkenaan hari ini, Samsiah berkata peningkatan infrastruktur asas serta peluasan skim Rumah Mesra SMJ menjadi antara keutamaan yang akan difokuskan.
Menurutnya, Sri Menanti sebelum ini dianggap penempatan tidak sah menyebabkan kawasan itu terpinggir daripada pembangunan, namun pewartaan tanah oleh kerajaan negeri membuka peluang untuk merancang pembangunan secara lebih teratur.
“Kawasan ini dahulunya terbiar kerana statusnya. Ada yang melabel penduduk sebagai PTI, sedangkan ramai pengundi DUN Kukusan tinggal di sini. Parti Harapan Rakyat Sabah juga mempunyai dua cawangan aktif di kampung ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meluangkan masa meninjau kira-kira 30 rumah dalam program ziarah kasih di kampung berkenaan hari ini.
Katanya, rungutan paling banyak diterima penduduk ialah keadaan jalan kampung yang sempit serta masalah perparitan berikutan rumah dibina rapat antara satu sama lain.
“Jika diberi mandat, kita akan susun semula penempatan supaya lebih teratur. Pembangunan parit, jalan dan kemudahan asas lain akan menjadi fokus utama demi kesejahteraan penduduk,” katanya.
Samsiah turut menyentuh mengenai kawasan di bahagian atas kampung yang sebelum ini tidak diberi perhatian oleh wakil rakyat terdahulu.
“Penduduk memaklumkan bahawa kawasan atas jarang dijenguk. Selepas kita turun padang, barulah ada pihak lain membantu. Jalan di atas juga sudah mula dibaiki,” katanya.
Berhubung isu perumahan, Samsiah berkata GRS komited memperluaskan pembinaan Rumah Mesra SMJ di seluruh Kukusan.
“Rumah SMJ menjadi antara agenda penting. Jika diberikan kepercayaan, skim ini akan diperluas demi memastikan lebih ramai penduduk memperoleh rumah yang selesa,” katanya.
Sebagai satu-satunya calon wanita GRS bagi kawasan Pantai Timur selain Kunak, Samsiah turut menyuarakan komitmennya memperkasa wanita khususnya dalam aspek ekonomi.
“Wanita tidak boleh terlalu bergantung kepada suami. Kita mahu mereka mempunyai usaha dan pendapatan sendiri, termasuk melalui perniagaan kecil-kecilan,” katanya.
Dalam pada itu, Samsiah optimis terhadap penerimaan pengundi berdasarkan sambutan yang diterimanya sepanjang gerak kerja di kawasan Kukusan.
“Penduduk melihat usaha kita dari awal dan memahami hala tuju pembangunan yang kita bawa. Sokongan yang diterima setakat ini sangat menggalakkan,” katanya.
Program ziarah kasih itu menjadi sebahagian komitmen berterusan Samsiah mendekati rakyat serta mendengar secara langsung keperluan penduduk Kampung Sri Menanti.
