SEMPORNA: Usaha berterusan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan di perairan timur Sabah membuahkan hasil apabila 80 gelen mengandungi minyak disyaki petrol dirampas dalam Op Taring Bravo 1, Sabtu lalu.
Operasi bersepadu melibatkan Cawangan Risik dan Task Force Perisikan Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna dijalankan kira-kira jam 5.45 petang di sebuah premis tidak bernombor di Kampung Batu, di sini.
Hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot kayu membawa kepada penemuan minyak petrol yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
Seorang lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan, manakala pelbagai aset termasuk sebuah bot kayu, dua enjin sangkut dan peralatan bot dianggarkan bernilai RM67,000 turut dirampas.
Kes berkenaan diserahkan kepada KPDN Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pihak PGA menegaskan kawalan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan, khususnya di kawasan berisiko tinggi, bagi memastikan aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan dapat dibanteras secara menyeluruh.
-Tamat-
