SANDAKAN,Tuan Yang Terutama Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Hj Aman hari ini melakukan lawatan singkat ke Sandakan bagi meninjau kemajuan kerja pembinaan Pusat Islam Sabah yang terletak di Batu 7, Jalan Kampung Sungai Kayu.
Dalam lawatan tersebut, Tun Musa telah diberikan taklimat mengenai perkembangan projek oleh Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Encik Walter Kenson bersama arkitek projek, Haji Mior serta pihak kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan pembinaan pusat berkenaan.
Menurut taklimat yang disampaikan, Pusat Islam Sabah yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk kegunaan masyarakat kini telah mencapai tahap kemajuan sebanyak 85 peratus.
Projek pembinaan Pusat Islam itu dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan Mei 2026 dan dijangka menjadi antara pusat aktiviti keagamaan serta komuniti Islam yang penting di daerah Sandakan.
Tun Musa turut menzahirkan harapan agar projek tersebut dapat disiapkan mengikut jadual serta memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat apabila beroperasi kelak.
