LAHAD DATU: Polis menahan seorang penunggang motosikal lelaki susulan penularan video di media sosial yang memaparkan kegiatan disyaki lumba haram melibatkan sekumpulan penunggang motosikal di daerah ini, awal pagi Ahad lalu.
Kejadian kira-kira jam 3.50 pagi pada 21 Disember itu berlaku di persimpangan lampu isyarat berhampiran Lapangan Terbang Lahad Datu, apabila seorang penunggang motosikal didapati melanggar lampu isyarat merah sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
Insiden berkenaan turut menyebabkan penunggang terbabit terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, hasil maklumat awam serta tindakan pantas Unit Penguatkuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, suspek berjaya dikesan di kediamannya di Felda Sahabat.
Menurutnya, suspek berusia 21 tahun itu dikesan pada 23 Disember kira-kira jam 4.15 petang sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dan ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir sendiri ke IPD Lahad Datu.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, manakala bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda RM10,000 hingga RM20,000 boleh dikenakan.
Dalam pada itu, polis menasihatkan ibu bapa agar memantau pergaulan anak-anak supaya tidak terlibat dengan gejala tidak sihat, selain mengingatkan golongan belia supaya mematuhi undang-undang lalu lintas dan menjauhi aktiviti lumba haram serta samseng jalanan.
Polis turut memaklumkan operasi bersepadu akan dijalankan dari semasa ke semasa, khususnya di lokasi yang dikenal pasti sebagai tumpuan kegiatan lumba haram di daerah ini.
