LAHAD DATU: Seorang wanita tempatan berusia 37 tahun ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu serbuan di sebuah hotel di Jalan Seroja, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, berkata suspek ditahan di dalam sebuah bilik hotel kira-kira jam 10.50 pagi hasil maklumat awam yang diterima pihak polis.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki syabu, selain sebatang straw yang diubah suai dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menerusi Op Tapis yang dijalankan bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini.
Susulan penahanan itu, suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah.
“Hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah seksyen yang sama,” katanya.
Dzulbaharin menegaskan bahawa IPD Lahad Datu akan terus mempergiatkan operasi dan tindakan penguatkuasaan bagi mengekang jenayah dadah demi kesejahteraan serta keselamatan masyarakat setempat.
-Tamat-
