SANDAKAN: Polis mengeluarkan 18 saman dalam satu Operasi Bersepadu yang dijalankan di Jalan Utara, Batu 4, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, operasi yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik berkenaan bertujuan untuk membanteras dan mencegah aktiviti lumba haram yang dikenalpasti aktif di kawasan Bandar Prima dan Bandar Indah Jaya.
George berkata, pihaknya turut memeriksa 90 buah kenderaan terdiri daripada 30 motokar, 20 pacuan empat roda, 25 kenderaan pelbagai guna (MPV) dan 15 motorsikal.
Seramai 100 individu turut diperiksa dalam operasi yang berakhir pada jam 1 pagi itu.
“Hasil daripada operasi, kita telah mengeluarkan 18 saman atas pelbagai kesalahan termasuklah tidak memiliki lesen memandu, mengubah suai kenderaan, cukai jalan dan lesen tamat tempoh.
“Operasi ini akan kita teruskan dari masa ke semasa bagi mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” tambahnya.
Sementara itu, Polis Daerah Sandakan turut mengingatkan pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan serta tidak melibatkan diri dalam aktiviti yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
-TAMAT-
